PEMIKIRAN SEYYED HOSSEIN NASR: KONSEP MANUSIA SEMPURNA DALAM PEMBENTUKAN PERIBADI INSAN BERMORAL

Authors

  • Farrah Wahida Mustafar

Keywords:

Seyyed Hossein Nasr, Manusia Sempurna, Insan Bermoral

Abstract

Dalam Islam, Nabi Muhammad SAW merupakan contoh sebagai manusia sempurna atau dalam bahasa Arab disebut dengan al-insan al-kamil. Konsep manusia sempurna banyak dibincangkan, namun dalam konteks etika dan akhlak dalam masyarakat kontemporari belum tuntas dibahaskan dalam kajian-kajian sedia ada. Justeru itu, objektif kajian ini adalah meneroka pembentukan peribadi insan bermoral menerusi konsep manusia sempurna berdasarkan pandangan Seyyed Hossein Nasr. Kajian berbentuk kualitatif ini menggunakan pendekatan kajian kepustakaan dan analisis kandungan berdasarkan karyanya yang bertajuk Muhammad Man of God. Kajian ini mengumpulkan data melalui dokumentasi yang berkaitan seperti pengumpulan maklumat dari buku, jurnal, tesis, kertas persidangan dan laman sesawang. Dapatan kajian mendapati manusia sempurna menurut Nasr adalah Nabi Muhammad SAW. Walau bagaimanapun, penjelasan dan huraian Nasr di dalam karyanya menunjukkan beberapa ciri yang boleh diamalkan oleh umat terkini. Terdapat 19 perkara yang dapat disimpulkan berdasarkan kandungan teks dalam karya tersebut iaitu memberi nama yang baik, sopansantun dan berbudi bahasa, berpegang kepada janji, jujur, ikhlas dan adil, kecekalan hati perkahwinan sebagai seruan Islam, peristiwa mi’raj sebagai perjalanan rohani, tempat persembunyian (qalb), menjadi pemimpin setelah penyucian rohani, menyatukan masyarakat berasaskan prinsip Islam, tidak meninggalkan hal keduniaan (jihad), pembentukan ummah, berpandangan jauh dan bersikap diplomatik, pemaaf dan tegas, menghormati agama lain, menjaga hubungan, bersikap sama rata, perasaan kasih sayang, mengambil berat dan bertanggungjawab, penekanan terhadap pendidikan dan kepentingan adab. Kesimpulannya, manusia sempurna dalam pandangan Nasr adalah selari dengan pembentukan peribadi insan bermoral selaras syariat dan akal. Pembentukan akhlak yang mulia adalah bermula dengan penyucian hati dan rohani yang mampu menjamin kesihatan mental dan jasmani.

Downloads

Published

2022-12-31