TAHAP MINAT DAN PENCAPAIAN MEMBACA GENRE BAHAN BACAAN ARAB DALAM KALANGAN PELAJAR BACELOR UNIVERSITI AWAM

Authors

  • Noor Adawiyah Ahmad Radzi Kolej Universiti Islam Melaka
  • Nik Farhan Mustapha Universiti Putra Malaysia
  • Pabiyah Hajimaming @ TokLubok Universiti Putra Malaysia

Keywords:

minat, bahan bacaan, tahap pencapaian, bahasa Arab, Universiti Awam

Abstract

Hubungan di antara minat sesuatu topik yang dipelajari dengan pencapaian dalam topik tersebut menjadi fokus utama sarjana kini. Menurut mereka, pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan pencapaian akan menjadi lebih baik sekiranya seseorang mempunyai minat yang mendalam terhadap perkara yang dipelajarinya. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap minat membaca genre bahan bacaan Arab dan mengenal pasti tahap pencapaian membaca genre bahan bacaan Arab dalam kalangan pelajar universiti berdasarkan perbezaan jantina. Kajian berbentuk kuantitatif ini melibatkan seramai 250 pelajar yang dipilih secara rawak mudah berstrata dalam pengkhususan bahasa Arab di empat Universiti Awam. Instrumen ujian ini terdiri daripada Ujian Inventori Minat (tiga genre bacaan) dan tiga teks bahan bacaan Arab beserta soalan kefahaman. Data dianalisis secara deskriptif dan inferensi. Ujian Mann-Whitney U digunakan bagi menganalisis dapatan kajian. Dapatan analisis minat berdasarkan jantina menunjukkan pelajar perempuan lebih meminati teks genre pendidikan, manakala pelajar lelaki lebih meminati teks genre pemakanan. Walau bagaimanapun, bagi teks genre keagamaan pula, tahap minat mereka adalah sama. Dari aspek tahap pencapaian, pelajar perempuan memperolehi pencapaian yang lebih baik daripada pelajar lelaki bagi teks genre pemakanan dan keagamaan, manakala bagi teks genre pendidikan pula tahap pencapaian mereka adalah sama.

Downloads

Published

2020-12-31